Grab the RSS feed

Abdullah: Laman blog perlu bertanggungjawab

LONDON 23 Jan. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan penulis-penulis laman blog supaya lebih bertanggungjawab dan tidak memaparkan hasil kerja yang bertentangan dengan undang-undang.

Tegas Perdana Menteri, meskipun kerajaan tidak membuat tapisan terhadap bahan-bahan dalam Internet, ia tidak bermakna penulis laman blog boleh bertindak dengan sewenang-wenangnya.

‘‘Mereka (penulis laman blog) tidak boleh mengambil kesempatan dengan melakukan sesuatu yang bertentangan undang-undang. Undang-undang tetap undang-undang.

‘‘Apa makna kebebasan tanpa tanggungjawab,’’ kata Perdana Menteri pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama bertajuk Barat dan Dunia Islam: Meredakan Tekanan Masa Kini di sini hari ini.

Abdullah mengulas tindakan sebuah akhbar tempatan (Malaysia) yang menyaman dua laman blog yang didakwa memaparkan kandungan berunsur fitnah dan hasutan baru-baru ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengingatkan jentera pilihan raya parti supaya jangan memandang mudah cabaran parti lawan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Batu Talam, 28 Januari ini walau pun pihak pembangkang bertindak memulaukannya.

Tegas Abdullah, jentera BN perlu mengerakkan seluruh tenaga menerusi kempen yang dijalankan bagi memastikan kemenangan besar kepada calon BN.

‘‘Pembangkang tidak berani nak bertanding. Jika ada peluang untuk menang, mereka (pembangkang) akan berbuat demikian,’’ kata Abdullah.

– Utusan

0 comments:

  •